Thursday, February 27, 2014

BACA QURAN DIKUBUR ANTARA KEHARUSAN DAN BIDAAH

Perbincangan di kalangan ulama sunni tentang membaca al-Quran di kuburan berkhilaf antara keharusan dan bidaah.

kekhilafan itu berlaku pada aliran pertama yang menyatakan bidaah. Aliran ini terdiri dari kalangan Al-Imam Ibn Taimiyyah bersama mereka yang mendokong beliau. Aliran kedua pula menyatakan keizinan dan galakkan. Mereka terdiri dari sebilangan ulama-ulama yang tidak kurang hebat juga, seperti imam nawawi, al-Qurtubi dan sebagainya. 

Hujah aliran pertama adalah merujuk kepada kaedah, "asal sesuatu perkara ibadat adalah bidaah selama tiada nas yang menyatakan sebaliknya".

Hujah mereka yang lain pula adalah merujuk kepada hadis bahawa Nabi saw ada berkata, "Kamu jadikan solat-solat kamu di rumah kamu, dan jangan kamu jadikan solat-solat itu di kuburan".

Juga hujah bersandar kepada hadis bahawa Nabi saw ada berkata, "Allah melaknat yahudi dan Nasrani kerana mereka mengambil kubur para nabi mereka sebagai tempat solat".

Juga merujuk kepada hadis bahawa Nabi saw bersabda, "jangan kamu solat di kuburan dan kamu duduk atasnya".

Pada mereka, jika menunaikan solat pula dilarang, sudah pasti membaca al-Quran juga di larang.

Aliran kedua pula menyatakan bahawa Keizinan tersebut merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh imam Tabrani dalam al-Kabir bahawa di riwayatkan Abd al-Rahman bin al-'Ala bin al-Lajlaj, dari bapanya bahawa dia berwasiat, apabila dia mati bahawa jenazahnya ditanam dan dibacakan di kepalanya pembukaan surah al-Baqarah dan penutup bagi surah tersebut. Dia berkata bahawa amalan itu dia mendengar dari Ibn Umar. 

Tentang hadis ini, berlaku kekhilafan di kalangan ulama-ulama ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Ini kerana, dalam hadis ini terdapat lelaki bernama Abd al-Rahman bin al-'ala bin al-Lajlaj, sedangkan imam al-Zahabi dalam al-Mizan menyatakan bahawa dia tidak dikenali. Namun begitu, al-Haisami pula menyatakan bahawa perawi-perawinya siqah atau kepercayaan. 

Menurut aliran kedua, mereka menyatakan keizinan itu dengan merujuk kepada hadis riwayat tibrani, daripada Ibn Umar bahawa beliau mendengar Rasulullah berkata yang bermaksud, "apabila seseorang kamu mati, maka jangan perlengahkan, malahan hendaklah segerakan kepada kuburnya dan hendaklah dibacakan di kepalanya fatihah al-Kitab dan di dua kakinya akhir bagi surah al-baqarah di kuburnya"

Hadis ini, meriwayatkannya oleh Tibrani dan baihaqi. Sanadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz ibn Hajar dalam al-Fath.

Dalil yang lain adalah merujuk kepada hadis riwayat ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah bahawa Nabi saw ada berkata, "bacakan yasin terhadap orang-orang meninggal dunia di kalangan kamu".

Walaupun hadis ini disahehkan oleh Ibn Majah dan al-Hakim, tetapi pendalilan hadis ini ditanggapi oleh al-Qurtubi dengan dua ihtimal atau tanggapan, iaitu ia merujuk kepada bacaan yasin kepada orang yang hampir dengan saat kematian, atau merujuk membaca yasin di atas kuburnya. 

Mereka juga berhujah dengan tindakan nabi saw yang meletakkan pelepah tamar di dua kuburan akibat penghuni dua kubur itu diazab ekoran dosa kecil sahaja. Menurut al-Qurtubi dalam kitab al-Tazkirah dan imam al-Nawawi dalam syarah muslim bahawa ia merupakan dalil bahawa ada keizinan membaca al-Quran atas kuburan kerana, dengan pelepah tamar yang belum kering pun boleh mengurangkan azab, sudah pasti bacaan al-Quran yang dibaca oleh manusia boleh memberi kesan kepada si mati.

Hujah ini dijawab oleh aliran pertama dengan dakwaan bahawa tindakan Nabi saw meletakkan pelepah tamar itu adalah khususiyyat Rasulullah saw. Ia tidak boleh ditiru oleh manusia lain. Malahan, membanding tindakan meletakkan pelepah tamar dengan membaca al-Quran kepada si mati adalah bandingan yang tidak seharusnya berlaku kerana berpegang dengan kaedah "tiada Qias berlaku dalam perkara ibadat".

Jika dilihat pada beberapa kenyataan ulama salaf, didapati ada sebilangan mereka menyatakan secara terang atas keizinan membaca al-Quran di kuburan, seperti Ibrahim al-Nakhaie dan al-Imam al-Syafie sepertimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab majmuk, Riyadh al-Salihin dan al-Azkar. 

Kesimpulan dari perbincangan ini nyata bahawa bacaan al-Quran di kuburan adalah perkara yang dikhilafi di kalangan ulama ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Ia boleh dihormati kerana kedua-dua belah pihak berhujah bersandarkan penghujahan yang benar; berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.

wallahu alam -wanji